Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Anjur Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) 2022

By Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi / Siaran Akhbar
Source: https://www.kuskop.gov.my/admin/files/med/image/portal/PDF/Kenyataan%20media/Siaran%20Akhbar%20AKU%20KUSKOP.pdf

PUTRAJAYA, 27 JUN 2022 – Sumisaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.00 sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri di Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) 2022, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Majlis yang bertempat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob. 

AKU merupakan pengiktirafan kepada usahawan cemerlang dalam memainkan peranan serta menyumbang kepada ekonomi negara. AKU juga merupakan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan keluarga usahawan. Sebanyak 16 anugerah dipertandingkan dan disampaikan semasa majlis anugerah ini yang terdiri daripada 10 anugerah melibatkan agensi-agensi KUSKOP, 3 anugerah kategori khas, dan 3 anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Menteri, Anugerah Menteri KUSKOP dan Anugerah Khas Usahawan Cekal. 

Anugerah Menteri KUSKOP telah dimenangi oleh Respack Manufacturing Sdn. Bhd. yang telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.00, manakala Anugerah Khas Usahawan Cekal telah dimenangi oleh Pagkia Barber Shop yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM25,000.00. 

Pemilihan pemenang-pemenang bagi AKU adalah berdasarkan saringan dan penelitian terhadap kriteria yang telah ditetapkan iaitu prestasi peningkatan jualan, tahap kelestarian perniagaan dan tanggungjawab sosial kepada komuniti/ masyarakat/ negara. Penilaian turut mengambil kira nilai tambah yang disumbangkan usahawan seperti penciptaan peluang pekerjaan, kecekalan menghadapi cabaran pandemik, serta adaptasi teknologi dalam perniagaan. 

Penganjuran AKU dihasratkan sebagai acara tahunan, selaras dengan aspirasi dan semangat Keluarga Malaysia dalam menyokong pemerkasaan sektor perniagaan dan merancakkan usaha pemulihan ekonomi negara. Para pemenang anugerah AKU 2022 juga diharapkan akan menjadi penanda aras kepada perkembangan ekosistem keusahawanan di negara ini, melalui peningkatan prestasi perniagaan mereka yang seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.